July 2014
M T W T F S S
« Jun    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

Kaedah-Kaedah Menangani Pembantu Rumah

Kaedah di bawah mungkin sedikit sebanyak dapat membantu anda dari segi untuk memahami kehendak pembantu dan mengurangkan jurang perbezaan budaya terutama dalam sepanjang tempoh penyesuaian dengan budaya kita

1) Benarkan pembantu menghubungi warga di Indonesia apabila tiba memulakan kerja dirumah majikan. Kod panggilan murah Celcom 1310062xxxxxx Maxis 1320062xxxx. Digi 0062… Biasanya hp bermula dengan 8xxx . jika nombor yang diberikan bermula 08xx, abaikan 0. Contoh : 081375869008 ditukar kepada 132006281375869008 .

2) Pastikan makanan ruji (nasi) yang mencukupi untuk pembantu. Majikan selalu mengharapkan pembantu membuat seperti rumah sendiri. Sebaliknya pembantu biasanya segan silu untuk makan apatah lagi dengan kehadiran majikan. Bertanyalah sekiranya pembantu belum makan dan suruhlah mereka makan dan rehat walaupun kadang-kadang mereka segan.

3) Pastikan rehat dan tidur yang mencukupi untuk pembantu. Pembantu biasanya segan untuk berehat dengan kehadiran majikan.Waktu bekerja kelazimannya mulai 5.30 pagi hingga 10.00 malam. Rehat sewajarnya dalam tempoh itu.

4) Cuti sehari seminggu seperti peraturan imigresen boleh diganti dengan bayaran ganjaran sewajarnya oleh majikan seperti pemberian bonus pada akhir tahun atau cuti bergaji penuh pada akhir tahun. (misalnya pembantu balik bercuti awal sebulan daripada tamat kontrak).

5) Majikan sebaiknya jangan membawa masalah dan tekanan ditempat kerja ke rumah sehingga bertindak kasar dengan pembantu kerana masalah di tempat kerja.

6) Pembantu adalah manusia biasa yang bersosial. Jangan menyisihkan pembantu dan anggap mereka sebahagian dari keluarga yang harmoni. Jika membeli belah, jangan hanya dibeli untuk kita sekeluarga sahaja. Beri mereka makan apa yang kita makan. Jangan sampai kita kenyang mereka lapar, kita gembira mereka bersedih, kita makan mereka lihat sahaja.

7) Jangan mudah menengking dan meninggikan suara jika pembantu membuat kesalahan. Pembantu mungkin sensitif tetapi memendam rasa. Mereka manusia biasa yang ada perasaan dan perlu dihormati sebagai pekerja. Ajari dan teguri mereka secara berhemah.

8) Selalu bertanya keperluan asas mereka seperti perubatan, ubat dan berus gigi, sabun, tuala wanita dan lain-lain. Mereka mungkin segan untuk memberitahu majikan. Jangan sampai sehingga mereka mencuri guna barang majikan. Perbelanjaan keperluan asas, perubatan dan urusan permit mereka adalah tanggunggan majikan.

9) Pastikan pembantu tidak terlalu bebas. Pantau pergaulan sesama mereka mungkin mereka selalu bercakap perkara buruk tentang majikan dan membanding-banding. Tidak digalakkan pembantu memiliki handphone kecuali dirasakan sangat perlu. Awasi penggunaan dan bil telefon rumah anda.

10) Awasi pembantu sekiranya terdapat pekerja Indonesia yang berhampiran biasanya pekerja kontrak. Pembantu boleh cepat terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki. Jangan mudah percaya jika pembantu mungkin menyatakan mereka adalah saudara terdekat.

11) Awasi jika ada sindiket yang mendekati pembantu menawarkan pendapatan yang lumayan, memujuk pembantu melarikan diri.
12) Keinginan untuk bersosial dan menikmati seks adalah naluri biasa manusia, namun pantau agar ianya berada di landasan yang dibenarkan syarak. Jangan sampai tindakan mereka melampaui batas seperti bergaul atau berkhalwat dengan bukan muhrim.

13) Jangan terlalu percaya kepada pernyataan pembantu rumah. Pembantu mungkin tidak bercakap benar demi menyembunyikan kesilapan dan kelemahan kerana mungkin takut kepada majikan.

14) Jangan menimbulkan kesangsian yang sembarangan kepada pembantu kerana ia akan menimbulkan ketidakselesaan untuk pembantu bertugas seterusnya. Sediakan bukti yang kukuh jika terdapat kes-kes kehilangan barang atau kes-kes lain.

15) Simpan passport dan buku bank pembantu ditempat yang selamat jangan sampai diambil oleh mereka. Passport jatuh ke tangan pembantu adalah peluang untuk berlakunya kes lari.

16) Majikan perlu membuka akaun bank, disarankan nama bersama majikan dan salah satu untuk transaksi. Tunjukkan resit kemasukan duit pada setiap bulan.

17) Jika pembantu menyatakan keinginan untuk pulang ke Indonesia kerana sebab-sebab yang dinyatakan, awasi, mungkin dia mempunyai masalah lain dengan majikan dan tidak akan kembali lagi.

18) Jika perlu pegang gaji pembantu sekitar 3 bulan gaji untuk mengelakkan kes-kes lari. Kadang-kadang pembantu memerlukan pinjaman daripada majikan untuk dihantar ke Indonesia,
bersederhanalah dalam menghulurkan pinjaman tersebut.

19) Kebanyakan pembantu adalah daripada golongan miskin dan perantau mencari rezeki yang halal. Berlebih kuranglah dalam urusan kewangan dengan mereka, jangan terlalu berkira, semoga kita dimurahkan rezeki oleh Allah. Anggap yang kita terlebih beri sebagai sedekah atau sebahagian zakat.

20) Pembantu anda adalah manusia yang unik sifat-sifat dan kebolehan masing-masing. Elakkan membanding-bandingkankan dengan pembantu sebelumnya atau pembantu orang lain yang lebih baik.

21) Pembantu biasanya adalah golongan yang kurang berpendidikan dan taraf sosio ekonominya rendah. Majikan harus faham keupayaan pembantu dan janganlah mengharapkan sesuatu yang melebihi kemampuan pembantu. Tatacara bekerja disetiap rumah juga adalah berbeza.Ajari pembantu dengan jelas dan sabar. Kadang-kadang pembantu perlu diajar berulang-ulang tentang sesuatu perkara.

22) Jangan memberi kepercayaan 100% kepada pembantu tentang perkara yang kritikal seperti keselamatan. Contohnya anda perlu sekali-sekala memantau adakah pintu, tingkap atau pagar telah dikunci sebelum pergi tidur, penjagaan barangan elektrik dan aspek-aspek keselamatan lain.

23) Setengah pembantu kurang memahami bahasa Melayu terutama daripada Jawa. Kadang-kadang mereka kurang memahami arahan majikan dan istilah bahasa Malaysia tetapi takut untuk bertanya. Perkataan tuala=anduk, sudu=cedok, tembikai=semangka, handphone=hape, perempuan=cewek, lelaki=cowok, teman=pacar. Berhati-hati menggunakan istilah sedekah=mengemis. Teliti semasa komunikasi bagi mengelakkan salah faham.

24) Ajari pembantu tentang budaya kita Malaysia dan fahami perbezaan budaya mereka. Pegangan agama mereka kadang-kadang lebih longgar. Seperti bersalaman lelaki dan perempuan amalan biasa di Indon sebagai tanda hormat. Tunjukkan cara berpakaian yang sopan dan beli pakaian yang sesuai untuk mereka jika perlu. Awasi jika ada pengamalan tahyul dan syirik atau merokok.

25) Awasi tahap kebersihan dan ajari langkah keselamatan terutama dalam penggunaan barangan elektrik jika perlu. Setengah rumah pembantu di Indonesia tidak berelektrik. Awasi pintu kereta yang selalunya tidak bertutup rapat.

26) Jangan mendera secara fizikal,emosi atau mencabul, ia boleh memudaratkan majikan sekiranya laporan dibuat kepada konsulat atau polis.Penggunaan bahasa kesat dan ugutan oleh majikan adalah contoh penderaan emosi yang sering berlaku.

27) Jangan terlalu memandang rendah kepada mereka kerana kita memerlukan khidmat mereka. Anggap mereka sebagai pembantu dan bukan orang suruhan. Jangan menghina atau memperli bangsa mereka dihadapan mereka kerana ini akan menimbulkan kebencian mereka kepada kita.

28) Layan pembantu dengan baik seperti mana kita mahu majikan kita berlaku baik kepada kita. Keseronokan mereka untuk bekerja dan berkhidmat dengan kita harus dipupuk supaya majikan dan pembantu sentiasa mempunyai hubungan yang baik ,balasannya kita akan rasa anak-anak dan hartabenda kita sentiasa selamat .

29) Pembantu mungkin terasa tersinggung dengan kata-kata kesat anak-anak kita walaupun masih kecil. Pembantu mungkin tidak berani menegur anak-anak sebaliknya memendam rasa. Tegur anak-anak jika perlu. Pembantu juga mempunyai hak perlindungan daripada majikan sepertimana anak-anak berhak mendapat perlindungan.

30) Barang berharga seperti barang kemas harus disimpan dengan baik bagi mengelakkan kes kecurian. Jika pembantu hendak pulang sebaiknya periksa beg pembantu dan barang simpanan kita sebagai langkah keselamatan jika dirasakan perlu. Jangan terlalu percaya walaupun pada zahirnya pembantu nampak baik dan alim. Jangan pula terlalu cemburu dan mencurigai sehingga menimbulkan rasa tidak selesa bagi pembantu.

31) Anda tidak perlu menguji kejujuran pembantu, kebanyakan mereka adalah tidak jujur. Bayangkan mereka adalah daripada golongan bawahan dan anda perlu mengakui banyak kelemahan mereka.

32) Majikan tidak digalakkan memberi pelepasan cuti pembantu dan bermalam ditempat lain. Rancang cuti bersama pembantu atau tinggalkan pembantu dirumah saudara terdekat jika perlu. Pergaulan pembantu yang luas biasanya mengundang masalah.

33) Pemberian hadiah adalah kaedah terbaik dalam memupuk kemesraan dan kasih-sayang antara seorang majikan dan pembantu.Lakukan yang anda fikirkan terbaik kerana pembantu adalah asset anda. Pemurahlah dengan orang yang sebenarnya banyak membantu kehidupan kita kerana mereka penjaga pada anak kita masa kita bekerja. Layani mereka sebagai seorang yang banyak berjasa kepada kita sekeluarga.

34) Elakkan pergaduhan dan pertengkaran yang berlanjutan dengan pembantu kerana ianya mengaibkan. Mereka kadang-kadang nekad untuk melarikan diri apabila terasa tersisih/tidak dihargai oleh majikan. Sebagai majikan gunalah kebijaksanaan dalam menyelesaikan sebarang masalah.

35) Majikan harus tegas dalam hal yang perlu tetapi mesti menjadi majikan yang penyayang dan berhati mulia bagi menimbulkan seseronakkan bagi pembantu bekerja dalam tempoh kontrak kerana ia suatu jangkamasa yang agak lama.

36) Bayaran kos perubatan di hospital kerajaan untuk pekerja asing adalah tinggi. Untuk kes kematian bayaran menghantar jenazah disekitar RM4000 atau lebih. Mengambil insurans akan mengurangkan beban majikan. Bayaran insurans Takaful Nasional adalah RM60 setahun.

37) Pembantu adalah manusia biasa yang mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Amat sukar untuk mencari pembantu yang sempurna. Pembantu muda mungkin senang mengikut arahan tetapi mungkin cepat terpengaruh dengan lelaki. Pembantu tua mungkin kurang terpengaruh dengan lelaki tetapi kadang-kadang sukar untuk memahami arahan.

38) Berusahalah mendidik pembantu terutama tentang solat dan membaca al-Quran..Kebanyakan pembantu agak daif dalam hal ini. Paling tidak bersama-samalah membaca Yasin dengan ahli keluarga pada setiap malam jumaat.

39) Tunjukkan kasih saying dan perihatin anda kepada pembantu seperti mereka sebahagian daripada keluarga kita. Ambil berat tentang kesihatan dan kebajikan mereka.

40) Ingatlah segala pemberian,layanan,tuturkata dan perbuatan baik kita terhadap pembantu takkan sia-sia dan pastinya akan mendapat ganjaran yang sawajarnya di akhirat nanti. Sebaliknya juga.Pembantu adalah asset anda. Uruskan mereka dengan baik dan kita memperolehi pelbagai manafaat daripadanya. Sekiranya kita tidak menguruskan dengan baik tidak mustahil kita akan kehilangannya..

Semua ini hanyalah sebagai panduan sahaja. Ianya mungkin adalah berdasarkan pengalaman atau pengamatan semata-mata dan mungkin sesuai, mungkin tidak. Majikanlah orang yang paling sesuai menilai bagaimana cara terbaik menangani kerenah pembantu rumah masing-masing.

** Artikel di atas adalah petikan dari artikel asal yang terdapat di internet yang malangnya tidak diketahui penulis asalnya. Kami mengucapkan terima kasih kepada penulis asal untuk artikel tersebut yang sangat bermanafaat. Walau bagaimana pun artikel di atas tidaklah mencerminkan pandangan pihak kami keseluruhannya.